Ahli Jawatankuasa Wanita PKR, Farahida Fauzi menyatakan keyakinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukan isi poket sendiri seperti didakwa sesetengah pihak.
PM Anwar tak isi poket sendiri
Memetik laporan daripada Malaysiakini, beliau menggesa orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan kempen manipulatif seperti “Himpunan Turun Anwar” yang bakal berlangsung Sabtu ini, kerana ia hanya memanipulasi emosi rakyat demi agenda politik tertentu.
PM Anwar tak isi poket sendiri, umum pelbagai inisiatif untuk rakyat
Menurutnya, pelbagai inisiatif yang diumumkan Anwar seperti penurunan harga petrol kepada RM1.99 seliter, bantuan tunai RM100 bagi barangan keperluan, tambahan cuti umum 15 September dan penangguhan kenaikan tol membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup.
“YAB Perdana Menteri sentiasa mendengar suara rakyat sejak hari pertama beliau memikul amanah… Inilah bukti kepimpinan yang benar-benar mendahulukan rakyat, bukan isi poket sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebar naratif kebencian sesuatu tak bertanggungjawab
Farahida turut menekankan bahawa reformasi ekonomi yang dilaksana tidak hanya bersifat jangka pendek, malah mencakupi pembangunan jangka panjang seperti peluang pekerjaan dan pelaburan berkualiti.
Mengulas kempen yang sedang giat dijalankan pembangkang, beliau menyifatkan tindakan menyebar naratif kebencian seperti #TurunAnwar sebagai tidak bertanggungjawab kerana menafikan fakta sebenar seperti pelaksanaan subsidi bersasar dan peluasan program Jualan Rahmah.
“Mereka sekadar memanipulasi kemarahan rakyat demi kepentingan politik sempit. Kita tidak perlukan kemarahan di jalanan — kita perlukan kerjasama membina masa depan negara bersama,” ujarnya.
Artikel lain: PM Anwar mohon maaf lambat turunkan harga minyak, fokus pulihkan ekonomi negara
Dalam pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan sokongan penuh Wanita PKR terhadap kepimpinan Anwar dan prinsip Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.
Terdahulu, beberapa pengumuman penting yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat pelbagai respon daripada rakyat, lebih-lebih lagi berkaitan bantuan sara bernilai RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas serta penurunan harga minyak RON95.
Sumber: Malaysiakini