AJL39 Semakin Hampir! Siti Nurhaliza Ramal 5 Finalis Berentap Rebut Vokal Terbaik

AJL39 Semakin Hampir! Siti Nurhaliza Ramal 5 Finalis Berentap Rebut Vokal Terbaik

Menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi pandangannya mengenai lima finalis yang berpotensi merebut trofi Vokal Terbaik.

Dalam temu bual bersama XTRA, Siti mengakui cabaran untuk meramalkan pemenang kerana perlu mendengar persembahan secara langsung serta menilai susunan muzik yang telah diperbaharui untuk pertandingan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan setiap finalis memiliki keunikan tersendiri dengan vokal yang dinamik dan bertenaga.

“Liga vokal terbaik pasti sengit antara Aina Abdul, Nadeera, Ernie Zakri dan Marsha. Namun, Hafiz juga bukan calang-calang pesaing kerana dia pernah memenangi anugerah ini sebanyak empat kali. Kesemua mereka berpeluang besar membawa pulang trofi,” katanya.

Siti berkongsi pandangan tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran produk kecantikan terbaharu SimplySiti dan kempen amal SimplySiti Sejuta Kasih Ramadan pada Rabu.

Mengenai ramalan juara keseluruhan AJL39, penyanyi Bukan Cinta Biasa itu mengakui sukar untuk membuat keputusan kerana masih belum terbiasa mendengar kesemua 10 lagu finalis.

“Untuk menentukan Lagu Terbaik, perlu benar-benar mendengar dan meneliti setiap karya.

“Saya tidak boleh memilih kerana ada lagu yang belum begitu biasa didengar. Biasanya, juri profesional sudah mempunyai calon mereka kerana penilaian awal telah dibuat sebelum acara berlangsung,” jelasnya.

AJL39 akan bersiaran secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini, pada jam 9 malam di TV3.

Scroll to Top