Akar umbi mahu BN tanding semua 56 kerusi DUN – Ahmad Maslan

Akar umbi mahu BN tanding semua 56 kerusi DUN – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifatkan selari dengan kehendak akar umbi parti di seluruh negeri ini.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi maklum balas yang diterimanya sepanjang siri penaziran dan program turun padang di pelbagai kawasan di Johor sejak empat bulan lalu.

“Semasa saya membuat penaziran dan turun padang di banyak kawasan di Johor dalam tempoh empat bulan serta menghadiri pelbagai program parti UMNO, itulah juga kehendak pimpinan akar umbi di bahagian-bahagian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, Johor sememangnya merupakan kubu kuat UMNO dan BN sejak sekian lama, termasuk dibuktikan menerusi kemenangan 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor 2022.

Ahli Parlimen Pontian itu turut mengingatkan seluruh jentera lima peringkat UMNO merangkumi bahagian, cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran supaya terus mendekati rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Katanya, semangat Bangsa Johor dan kepelbagaian masyarakat perlu terus diraikan sebagai kekuatan utama negeri tersebut.

“Kita adalah Bangsa Johor. Kepelbagaian itu suatu kekuatan yang kita raikan, yang kita bersama bangunkan dan itulah juga teras perjuangan BN selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menambah keputusan politik di Johor menggambarkan keunikan demokrasi di Malaysia apabila kaedah di peringkat negeri boleh berbeza, namun di peringkat Kerajaan Persekutuan dukungan terhadap Kerajaan Perpaduan tetap diteruskan.

Scroll to Top