Akaun palsu guna nama Saifuddin Nasution dikesan

Akaun palsu guna nama Saifuddin Nasution dikesan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa akaun palsu dikesan di TikTok yang menyalahgunakan nama dan gambar Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menipu orang awam.

Pejabat Menteri Dalam Negeri (MDN) dalam kenyataannya berkata akaun rasmi Tiktok Saifuddin Nasution adalah menggunakan nama penuh beliau Saifuddin_Nasution.

“Akaun palsu yang dikesan ini mendakwa kononnya Saifuddin Nasution ingin menyalurkan bantuan kewangan melalui pautan WhatsApp yang diletakkan di ruangan bio.

“Sebenarnya, ini adalah penipuan yang bertujuan memperdaya orang ramai untuk membuat bayaran pendahuluan (advance payment),” katanya.

Katanya, pihaknya mengesan beberapa akaun palsu dan sudah membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak TikTok.

“Setakat ini, tiga akaun disekat oleh pihak Tiktok seperti Saifuddin_Nasution0, Saifuddin_Nasution1 dan Saifuddin_Nasution12.

“Namun begitu, kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun palsu akan terus diwujudkan. Oleh itu, kami menyeru orang ramai sentiasa berhati-hati, tidak mudah percaya dan sentiasa semak kesahihan maklumat sebelum bertindak,” katanya.

Pejabat MDN berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang bayaran kepada mana-mana individu atau akaun media sosial yang mendakwa mewakili Saifuddin.

“Ingin ditegaskan di sini bahawa pihak Datuk Seri (Saifuddin Nasution) tidak akan sesekali meminta bayaran bagi sebarang bentuk bantuan.

“Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penipuan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top