Cape Town: Seorang akauntan Afrika Selatan yang sedang menyiasat kes rasuah berprofil tinggi ditembak mati bersama anaknya.
Cloete Murray, 50, adalah pihak penyelesai (liquidator) kepada Bosasa, sebuah syarikat terbabit skandal kontrak kerajaan selain liquidator kepada firma yang dikaitkan dengan keluarga Gupta yang menafikan tuduhan rasuah.
BBC melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan kemungkinan kes pembunuhan Murray mempunyai kaitan dengan siasatan rasuah itu.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Murray menaiki Toyota Prado bersama anak lelakinya Thomas, 28, yang juga penasihat undang-undang, dalam perjalanan pulang ke rumah di Pretoria, sebelum ditembak lelaki tidak dikenali di Johannesburg.
Anak lelakinya meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Murray dibawa ke hospital sebelum meninggal dunia akibat kecederaannya, lapor media tempatan memetik jurucakap polis.
Murray dilantik oleh mahkamah untuk melihat akaun firma yang ditutup, memulihkan aset dan melaporkan sebarang jenayah dengan salah satu syarikat itu ialah Bosasa, kontraktor kerajaan dalam perkhidmatan penjara.
Suruhanjaya Zondo yang terkenal mengenai rasuah berpendapat syarikat itu merasuah ahli politik dan pegawai kerajaan untuk mendapatkan kontrak kerajaan semasa presiden Jacob Zuma, dari 2009 hingga 2018.
Pada 2018, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata, beliau akan membayar balik sumbangan Bosasa berjumlah AS$35,000 (kira-kira RM156,000) selepas syarikat itu ditutup dan akaun bank disekat.
Seorang penyiasat antirasuah mendapati Ramaphosa mengelirukan parlimen berhubung sumbangan itu, tetapi keputusan ditolak oleh Mahkamah Tinggi negara.
Murray juga bekerja sebagai liquidator untuk firma yang dikaitkan dengan saudara Gupta.
Suruhanjaya Zondo mendapati bahawa adik-beradik iaitu Ajay, Rajesh dan Atul cuba mempengaruhi keputusan politik serta ekonomi semasa Zuma yang menjadi presiden dalam proses dikenali sebagai penawanan negara.
Guptas berpindah dari India ke Afrika Selatan pada tahun 1993 dan memiliki portfolio syarikat yang menikmati kontrak lumayan dengan jabatan kerajaan Afrika Selatan serta syarikat milik kerajaan.
Pihak berkuasa Afrika Selatan kini sedang berusaha meminta saudara Gupta diekstradisi dari UAE, tempat mereka ditangkap untuk dibicarakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




