firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Disebalik kemenangan besar Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan jaringan 4-0 malam tadi, aksi lincah Ager Aketxe nyata mencuri tumpuan dan pujian pengendalinya, Xisco Munoz.
Menurut jurulatih itu, beliau memuji impak besar yang dipamerkan Aketxe dalam aksi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia itu yang membolehkan skuad Harimau Selatan membawa pulang jaringan selesa sebelum aksi timbal balik kedua Selasa nanti.
Katanya, beliau sememangnya sudah mengenali kualiti dimiliki Aketxe sejak di Sepanyol dan tidak terkejut melihat pemain itu tampil cemerlang dalam membantu pasukan mencipta kemenangan penting.
“Maksud saya tentang Aketxe, saya juga mengenali beliau di Sepanyol. Bagaimana beliau mempunyai kebolehan mencipta gol yang sangat baik,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Tambahnya, prestasi semasa pemain itu berada pada tahap terbaik hasil kerja keras yang ditunjukkan sepanjang tempoh bersama pasukan.
“Baru-baru ini, saya rasa beliau berada dalam satu detik yang sangat baik. Saya sangat gembira dengannya kerana saya tahu bagaimana beliau telah berusaha untuk mencapai tahap ini.
“Saya maksudkan sekarang ia sesuatu yang menakjubkan kerana ia penting sekarang kerana kita mempunyai perkara penting dalam masa yang singkat. Dan kita perlu menyediakan pemain kita untuk perlawanan-perlawanan penting,” katanya.
Dalam perlawanan itu, JDT jelas menguasai permainan dengan aksi meyakinkan, manakala KL City FC bergelut untuk menandingi keampuhan juara bertahan itu.
Kemenangan besar itu meletakkan JDT di landasan terbaik untuk melangkah ke final menjelang aksi separuh akhir kedua, dengan Aketxe dilihat terus menjadi antara tonggak utama dalam misi memburu satu lagi kejuaraan musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




