am@hmetro.com.my
Besut: “Ibu sudah pasrah apabila adik tidak berjaya ditemui selepas membuat pencarian sekitar kampung ketika hari pertama dia keluar rumah pada Khamis lalu,” Muhammad Aizuddin Azman, 31.
Aizuddin abang kepada lelaki autisme, Muhammad Helmi, 26, yang ditemukan lemas di anak sungai Keluang Kecil di Kampung Raja, di sini, kira-kira 11.45 pagi semalam.
Menurutnya, ibunya Senah Othman, 64, dan seorang ahli keluarga mencari adiknya sekitar Kampung Limbongan serta Bukit Keluang termasuk kawasan berhampiran.
“Selalunya apabila dia (Helmi) keluar dalam tempoh beberapa jam akan ditemui semula penduduk kampung, tetapi kali ini (hilang) ebih 24 jam.
“Adik suka dengan air, mungkin disebabkan itu dia ambil kunci yang disimpan ibu dan keluar pada awal pagi tanpa disedari oleh sesiapa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mereka turut membuat hebahan kehilangan adiknya melalui media sosial untuk menjejakinya, namun tidak berjaya ditemui.
“Pada semalam, kami dimaklumkan tentang penemuan satu mayat di kawasan berkenaan oleh orang awam yang memancing di sungai itu.
“Ahli keluarga kami kemudian dipanggil untuk membuat pengecaman dan mengesahkan mayat adik.
“Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja kira-kira 11 malam tadi,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, orang awam ternampak satu mayat tersangkut di dahan pokok di anak sungai Keluang Kecil lalu menghubungi polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd