Akibat buat bising, lelaki maut kena libas parang

Akibat buat bising, lelaki maut kena libas parang

am@hmetro.com.my

Segamat: Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam pergaduhan akibat membuat bising dihadapan sebuah rumah di Taman Sejati di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita pada jam 9 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang berusia 30 tahun.

“Mangsa dipercayai membuat bising di hadapan rumah suspek. Pergaduhan dipercayai tercetus sebelum berakhir dengan mangsa terbunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Katanya, siasatan mendapati mangsa maut akibat libasan dan tetakan parang oleh suspek.

“Beberapa rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut mengalami beberapa kecederaan dan kini dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat.

“Kenderaan milik keluarga suspek dirosakkan rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek menyebabkan mangsa maut.

“Polis membuat tangkapan pada jam 12.30 tengah malam semalam membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan belasan tahun hingga 40 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis turut menahan tiga lagi lelaki yang menyebabkan khianat dan rusuhan.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Selain itu katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek utama mempunyai tujuh rekod lampau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top