Akibat mabuk, gaduh mulut, lelaki parah ditikam

Akibat mabuk, gaduh mulut, lelaki parah ditikam

am@hmetro.com.my

Tawau: Akibat mabuk dan cabar mencabar, seorang lelaki cedera parah selepas ditikam di hadapan sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.43 petang itu, pergaduhan dikatakan tercetus selepas kedua-dua lelaki terbabit yang juga buruh kasar dan saling mengenali, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sebelum berlaku pertengkaran mulut yang membawa kepada kejadian tikaman menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebaik mendapat maklumat.

“Polis menahan seorang lelaki jam 5 petang di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati suspek berusia 37 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) akta sama untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sebelum itu, tular rakaman video memaparkan mangsa terbaring dalam keadaan lemah dan menyayat hati dengan usus terkeluar namun masih sedarkan diri sambil diperhatikan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top