norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Akibat mengalami muntah selepas menikmati nasi lemak, penghibur serba boleh Helmi Gimmick, 66, dipasangkan tiub di hidung untuk mengeluarkan muntah hingga bersih sekali gus memantau keadaan kesihatannya.
Menurut pemilik nama sebenar Helmi Harun ini, dia yang sudah menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri pada 8 Januari lalu kerana kanser tahap empat dihidapi kini perlu menjaga makan dan minum.
“Dua hari lalu, saya minta anak belikan nasi lemak sebab terlalu rindu nak makan. Tapi, saya tak tahu sebenarnya masih tidak boleh makan dan minum secara mendadak, maka saya muntah-muntah selepas makan nasi lemak itu.
“Jadi, bagi terus memantau keadaan kesihatan saya terutama fungsi usus serta mengelakkan berlaku luka dalaman di organ lain disebabkan muntah-muntah itu, doktor pasangkan tiub tarik muntah pada hidung saya.
“Tujuannya bagi mengeluarkan apa sahaja makanan dan minuman yang saya ambil tanpa menyebabkan luka dalaman di tempat lain dan berlaku jangkitan kuman, termasuk untuk memantau fungsi usus serta sistem penghadaman.
“Apatah lagi, saya sudah empat hari tidak membuang air besar dan sebab itu doktor perlu memantau fungsi usus sama ada okay atau tidak. Kalau tiada masalah di usus dan semuanya baik, insya-Allah saya mungkin boleh keluar hospital dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, dia kini menyerahkan kepada doktor untuk melakukan apa sahaja rawatan dan akan akur jika perlu tinggal lebih lama di hospital untuk memastikan keadaan kesihatan pulih.
Terdahulu, Helmi dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah di Serdang sejak 29 Disember 2025 akibat kanser buah pinggang tahap empat yang dihidapinya lebih setahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




