am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Seorang pesakit psikiatri diselamatkan anggota bomba selepas tersesat hampir dua jam di dalam hutan berhampiran rumahnya di Taman Belimbing Harmoni, di sini, malam tadi.
Difahamkan, mangsa berusia 20 tahun itu ketakutan serta merajuk akibat dimarahi dan dikejar oleh abangnya hingga berlari ke dalam hutan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Mohamad Hamizan Mohd Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 malam.
Katanya, lapan anggota bomba termasuk tiga dari Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) kemudian bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba, pasukan keluaran operasi (PKO) menjalankan operasi SAR sebelum menemui mangsa dalam keadaan ketakutan di kawasan curam di hutan berkenaan dalam masa 35 minit.
“Mangsa dibawa keluar dari hutan berkenaan sebelum diperiksa oleh anggota EMRS dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan serta dihantar ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




