Akim & The Majistret makin matang dengan 'Juliet'

Akim & The Majistret makin matang dengan 'Juliet'

opie@hmetro.com.my

Pelancaran single terbaharu berjudul Juliet bakal mengubat kerinduan peminat terhadap kumpulan rock alternatif, Akim & The Majistret (ATM) yang tampil dengan identiti muzik lebih matang.

Karya berkenaan hasil ciptaan anggota band, manakala lirik ditulis oleh Bunga Cantik sarat emosi, keberanian dan kejujuran perasaan.

Lagu ini mengetengahkan naratif cinta yang tidak bersandarkan kesempurnaan, sebaliknya diraikan melalui keberanian untuk jujur dan setia kepada perasaan sendiri.

Vokalis utama ATM, Akim Ahmad berkata, Juliet membawa maksud lebih mendalam berbanding sebuah kisah cinta biasa.

“Bagi saya, Juliet adalah mengenai keberanian untuk mencintai dengan jujur walaupun dunia di sekeliling kita sering memaksa kita berpura-pura.

“Lagu ini dekat dengan realiti mengenai hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan cabaran,” katanya.

Katanya, proses rakaman Juliet turut memberikan pengalaman berbeza buat dirinya dan seluruh anggota kumpulan.

“Kami mahu setiap lagu yang dikeluarkan ada jiwa. Maka Juliet lahir daripada perbincangan panjang mengenai apa yang kami rasa sebagai manusia, bukan hanya sebagai pemuzik.

“Justeru, saya harap pendengar boleh merasakan emosi itu bila mereka mendengar lagu ini,” katanya.

Single terbaharu Juliet ini hadir selepas beberapa karya terdahulu ATM berjaya mencatat pencapaian membanggakan di platform digital.

Antara lagu paling berjaya ialah Potret yang merekodkan 33 juta tontonan di YouTube dan kekal menjadi antara lagu wajib permintaan peminat dalam setiap persembahan langsung mereka.

Selain itu, single Rampas dan Mewangi turut memperlihatkan sambutan luar biasa apabila masing-masing mencatat 18 juta dan 14 juta tontonan di YouTube.

Ia turut mengungguli carta radio tempatan, sekali gus mengukuhkan reputasi ATM sebagai antara kumpulan rock moden paling konsisten di Malaysia.

Saksama, single terakhir ATM yang dikeluarkan pada 2023 memenangi anugerah Lagu Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke-24 dan tempat ke-3 Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-39.

Kejayaan berterusan ini bukan sahaja membuktikan kekuatan vokal Akim, malah keserasiannya bersama barisan pemuzik The Majistret dalam menampilkan muzik yang relevan dengan generasi masa kini tanpa mengorbankan elemen ‘jiwa’ dan keaslian karya.

Kehadiran Juliet dijangka mampu mengulangi kejayaan single terdahulu dan menambat hati pendengar khususnya peminat setia yang menantikan kelainan serta kematangan dalam setiap karya terbaharu kumpulan ini.

Dengan susunan muzik yang kemas, melodi yang kuat serta lirik yang puitis, Juliet dilihat sebagai satu lagi bukti kematangan ATM dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah mampu menyentuh perasaan pendengar.

Single Juliet terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top