sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Selepas kempunan untuk melakar kemenangan dalam tujuh perlawanan terdahulu, penyerang Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade tekad tamatkan penantian panjang itu.
Jelas pemain kelahiran Nigeria itu, dia dan rakan sepasukannya berazam untuk menamatkan kemarau itu apabila berdepan dengan Perak FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada petang Sabtu ini.
Bagaimanapun bekas pemain Kelantan United FC itu sedar ia bukan tugas mudah sebagaimana perancangan di atas kertas lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan pada sebelah petang.
“Kami sentiasa bersedia dalam setiap perlawanan sebagaimana tunjuk ajar barisan kejurulatihan, tapi Liga Malaysia (Liga M) ini kompetitif dan semua pasukan bagus dan mahu menang.
“Jadi bukan selalu mudah buat kami ketika menentang mana-mana pasukan sehingga kami begitu lama tidak menang biarpun sudah gandakan usaha dan masing-masing menyajikan persembahan terbaik, namun ia belum berhasil.
“Kami percaya jika kami menang, ianya bakal menjadi detik kebangkitan, saya juga pasti kemenangan akan terus dilakar oleh pasukan sekali gus mampu menjarakkan lagi kedudukan dengan pasukan lain dalam saingan liga,” ujar pemain berusia 30 tahun itu ketika dihubungi.
Terdahulu TFC yang sebelum ini dibimbing jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner terikat 1-1 dengan Sri Pahang FC, Sabah FC dan PDRM FC serta tewas kepada Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC masing-masing 0-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




