Akmal enggan dabik dada

Akmal enggan dabik dada

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaringan menarik yang dihasilkan tonggak pertahanan Kedah Darul Aman FC, Mohd Akmal Md Zahir bukanlah tiket untuknya menabik dada berbangga dengan gol terbabit.

Anak jati Kedah itu semakin mencuri tumpuan selepas melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol ketika menentang Kuching City FC bagi mencatat kemenangan 3-0 kepada pasukan.

Walaupun tidak beraksi di bahagian serangan, Akmal menganggap sudah menjadi tanggungjawab pemain untuk tidak mensia-siakan peluang di hadapan mata bagi meledak jaringan dan berharap mampu untuk terus memberi impak besar kepada Kedah pada musim ini.

Namun, bekas pemain Melaka United FC itu tidak mahu terlalu teruja dengan pencapaian terkini sebaliknya dia ingin bersedia untuk perlawanan yang lebih sukar sebaik sahaja Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung.

“Kalau ikutkan, memanglah sampai sekarang masih teringat lagi dengan gol tempoh hari, tapi dah sampai masa kita jadikan benda tu sebagai sejarah sebab liga masih lagi panjang dan kena fokus ke hadapan.

“Memang ianya akan sentiasa menjadi pengalaman indah untuk saya dalam karier lagi-lagi saya bermain untuk negeri sendiri tetapi selepas ini sudah tentu akan ada banyak lagi cabaran-cabaran yang kita akan lalui.

“Saya tidak mahu selesa dan selepas ini saya rasa sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol tetapi insya-Allah kalau masih ada ruang dan peluang, apa salahnya untuk saya cuba lagi meledak gol”, katanya.

Skuad kendalian Nafuzi Zain ini akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur pada 1 April depan untuk aksi keenam Liga Super dan pasukan sudah pun kembali berlatih pada sejak semalam.

Bagi Akmal, perlawanan seterusnya itu dilihat akan menjadi pertembungan yang sukar memandangkan Sri Pahang ketika ini dilihat begitu konsisten tanpa kekalahan selepas lima aksi dan tempoh masa berehat kini sangat penting untuk mereka mempersiapkan diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top