Akmal Saleh bukan budak catur -“Aku Budak UMNO, dulu kini dan selamanya!”

Akmal Saleh bukan budak catur -“Aku Budak UMNO, dulu kini dan selamanya!”

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan mana-mana pemimpin, sebaliknya menegaskan beliau kekal berpegang kepada prinsip parti.

Menurutnya, ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘budak catur’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Memetik Sinar Harian, Muhamad Akmal Saleh berkata, tuduhan itu tidak menggambarkan pendiriannya dalam parti.

“Saya nak bagi tahu di pentas keramat ini, depan semua orang, saya ini bukan budak catur, bukan budak Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi, bukan budak catur Tokmat Hassan, bukan budak KJ.
“Saya ialah ABU. Aku Budak UMNO, dulu kini dan selamanya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal menegaskan ulang tahun ke-80 UMNO bukan titik noktah, sebaliknya peringatan bahawa perjuangan parti masih panjang.

“Pilihan raya semakin hampir dan medan perang sebenar sedang menanti, maka selepas hari ini, jangan ada lagi yang leka. Jangan ada lagi yang selesa dan jangan ada lagi yang berpecah sesama sendiri.
“Kalau kita sayang UMNO, kita mesti berpegang teguh. Kalau kita mahu UMNO terus hidup, kita mesti siap siaga,”tegasnya.

 

Beliau berkata, kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang perlu dijadikan hadiah paling bermakna sempena ulang tahun UMNO ke-80.

“Bukan hadiah dalam bentuk kek, kain rentang atau tepukan, tetapi hadiah dalam bentuk mandat rakyat yang kita menangi semula.

“Maka kepada seluruh ahli UMNO, rapatkan saf, kuatkan jentera, turun ke medan dan yakinkan rakyat bahawa UMNO masih parti yang paling layak memimpin perjuangan bangsa,” katanya.

Justeru itu, beliau turut menyeru golongan muda supaya tidak malu mengangkat identiti parti.

“Kepada anak muda, jangan pernah rasa malu untuk berdiri dan berkata ‘Aku Budak UMNO’ (ABU),”ujar beliau.

Turut disebut dalam ucapannya, bekas pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Mohamad Hasan dan Khairy Jamaluddin sebagai antara nama yang pernah dikaitkan dengan naratif politik dalaman parti.

Sumber: FB Akmal Saleh, Sinar Harian (Norafidah Assan)

Scroll to Top