Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh kesal dengan kenyataan dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila menuduh UMNO sebagai pihak yang ‘jahil’ susulan gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Datuk Seri Zahid Hamidi.
Ajak penyatuan tapi didakwa jahil pula
Ujar Akmal, mereka mengajak PAS untuk sama-sama menyertai gagasan tersebut demi penyatuan masyarakat Melayu dan agama Islam kerana Allah S.W.T, namun dituduh dengan sesuatu yang sangat tidak wajar.
“Kita mengajak penyatuan agama bangsa, kita pula yang dikatakan jahil,” tulisnya.

Fokus konsisten teruskan agenda Rumah Bangsa
Beliau yang dilihat enggan memanjangkan perkara tersebut memaklumkan akan terus konsisten dengan agenda penyatuan yang telah direncanakan sebelum ini.
Dalam pada masa yang sama, Akmal menyatakan sepatutnya kenyataan tersebut dikeluarkan PAS ketika bersama DAP di dalam Pakatan Rakyat dahulu dan bukan ketika ini.
“Tidak mengapalah. kita konsisten teruskan agenda penyatuan demi kerana Allah bukan kerana pemimpin,” tulisnya lagi.

Hadi sifatkan Rumah Bangsa sebagai struktur politik tak selamat
Sebelum ini, Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa yang dicadangkan oleh Ahmad Zahid Hamidi kerana disifatkan sebagai struktur politik yang tidak selamat dan penuh “hantu” politik.
Presiden PAS itu berkata Rumah Bangsa diibaratkan seperti payung buruk yang rosak, berdinding dan beratap tidak sempurna, malah masih terdapat besi tajam yang boleh membahayakan serta disertai amalan pemimpin yang jahil.
Menurut Abdul Hadi, PAS sebelum ini menghantar pemerhati untuk melihat sendiri pertemuan berkaitan inisiatif berkenaan, namun mendapati gagasan itu hanya menekankan perpaduan Melayu berasaskan semangat kebangsaan tanpa menjadikan Islam sebagai teras.

Artikel lain: Sanusi dakwa Rumah Bangsa usaha UMNO jadi ‘Abang Besar’ semula
Beliau menegaskan pendekatan politik UMNO yang sanggup bersahabat dengan pelbagai pihak termasuk pihak yang dianggap musuh PAS dan mengamalkan strategi “senjata lapuk” gagal menarik sokongan pengundi muda serta hanya mampu menggoda sebahagian pengundi tertentu.
Tambahnya, pendekatan itu juga melibatkan pesta pemujaan dan amalan yang tidak selari dengan prinsip agama, termasuk penglibatan lebai yang jahil, sekaligus menunjukkan bahawa gagasan Rumah Bangsa bukanlah platform selamat untuk dibina dan diharap PAS tidak terpengaruh dengan tipu daya politik tersebut.
Sumber: Facebook Akmal Saleh, Hadi Awang




