am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) hari ini mematahkan cubaan seludup keluar 10,200 liter diesel ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di sini, yang dipercayai untuk dibawa ke negara ketiga.
Ia susulan pemeriksaan ke atas tiga treler dan tiga trak pikap di laluan keluar di Blok A ICQS Bukit Kayu Hitam itu pada jam 8.45 pagi membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan dari negara jiran itu diubah suai dan disyaki digunakan untuk tujuan penyeludupan diesel.
Katanya, siasatan awal pihaknya percaya diesel itu akan dibawa ke negara ketiga iaitu Myanmar dengan menjadikan Thailand sebagai transit.
“Keseluruhan minyak diesel terbabit adalah sebanyak 10, 200 liter yang dianggarkan bernilai RM30,600 disembunyikan di tangki yang diubah suai,” katanya pada sidang media di Pejabat AKPS Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, enam lelaki warga Thailand berusia 40an hingga 60an pemandu semua kenderaan berkenaan turut ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan AKPS selepas diambil keterangan.
Katanya, modus operandi yang digunakan mereka ialah dengan membawa masuk barangan ke negara ini dan ketika hendak pulang, mereka mengambil kesempatan untuk membawa keluar diesel ke Thailand.
“Kita menemukan tangki tambahan pada pikap itu yang mampu menampung 300 hingga 400 liter diesel manakala tangki tambahan pada treler pula sebanyak 3,000 liter,” katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, nilai anggaran lori treler dan pikap terbabit adalah RM350,000 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan kenderaan terbabit berjumlah RM 380,600.
Beliau berkata, semua kenderaan yang ditahan itu kemudian disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd