harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup keluar enam ekor haiwan eksotik bernilai RM73,000 ke Hyderabad, India, hari ini.
AKPS dalam kenyataan berkata, lelaki tempatan berkenaan ditahan dalam operasi membabitkan anggota AKPS KLIA dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, dua anggota AKPS KLIA bersama tiga anggota AVSEC menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap bagasi penumpang.
“Suspek ditahan pada jam 10 malam selepas disyaki cuba membawa keluar beberapa ekor haiwan eksotik menggunakan penerbangan MH0198 ke Hyderabad, India,” kata kenyataan itu hari ini.
AKPS berkata, pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan menyerupai hidupan liar di dalam bagasi tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemui enam hidupan liar iaitu dua ekor lotong kelabu, siamang (2), dan armadilo (2) di mana kesemuanya spesis haiwan terancam serta dilindungi mengikut undang-undang.
“Suspek lelaki, berusia 38 tahun dan berasal dari Selangor, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
“Kesemua haiwan yang dirampas dibawa ke pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan susulan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd