am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) berjaya mematahkan cubaan seorang pegawainya melakukan aktiviti pasport terbang atau ‘flying passport’ di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di sini, semalam.
Komander AKPS BSI Roszita Dim berkata, penahanan itu dilakukan pada jam 11.30 pagi selepas sepasukan pegawai dari Unit Integriti AKPS BSI yang sedang melakukan pemantauan di Dewan Penumpang Masuk BSI memeriksa pegawai berkenaan yang bertugas di kaunter MyBorderPass.
“Hasil pemeriksaan mendapati pegawai yang berusia 32 tahun itu gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil 01 Tahun 2024 iaitu Tatacara dan Prosedur Membawa, Menyimpan Atau Menggunakan Alat Telekomunikasi Semasa Waktu Bertugas.
“Pegawai terbabit mengaku membawa dan menyimpan dua unit telefon bimbit ketika bertugas serta tidak membuat tindakan serah terima telefon bimbit di kaunter penyelia sebelum bertugas.
“Pegawai terbabit kemudiannya dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut selepas dia tidak dapat memberi penjelasan terhadap arahan menyimpan telefon bimbit sebelum bertugas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan lapan pasport warga asing iaitu enam pasport China, satu pasport Indonesia dan satu pasport Vietnam.
Katanya, kesemua pasport itu ditemui dalam beg warna hitam yang disimpan di ruang penyimpanan barang motosikal jenis Honda Vario milik pegawai berkenaan yang parkir dalam kawasan BSI.
“Pegawai itu ditahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana menyimpan pasport orang lain.
“Kita turut merampas dan menyita sebuah motosikal, lapan pasport yang ditemui dan dua telefon bimbit milik pegawai berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, Roszita berkata, AKPS sentiasa mengingatkan pegawai yang bertugas di mana-mana pintu masuk negara supaya mematuhi arahan integriti jabatan.
“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang ingkar perintah serta menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan tindakan tegas seumpama ini akan diteruskan sebagai sebahagian komitmen AKPS dalam memperkukuhkan kawalan pintu masuk negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




