hafidzul@hmetro.com.my
Sepang: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan membawa masuk dagangan pertanian yang tidak mematuhi peraturan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA Kargo, di sini, Khamis lalu.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menahan satu konsainan yang mengandungi 1.75 tan cili segar diimport dari Bangladesh
“Hasil pemeriksaan mendapati ia dibawa masuk oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Melaka.
“Bagaimanapun, semakan mendapati komoditi berkenaan gagal mematuhi syarat permit import yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 250 kotak cili dengan berat keseluruhan 1,750 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM16,504 dirampas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) atas kesalahan gagal mematuhi syarat permit import.
“Pihak AKPS KLIA kekal komited dalam memastikan setiap aktiviti pengimportan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Langkah tegas ini diambil demi menjamin keselamatan, kesihatan, serta kepentingan pengguna di negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




