hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sepang: Seramai 98 pelawat warga Bangladesh diberi Notis Penolakan Masuk (NTL) ke negara ini di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan soal siasat terhadap 181 pelawat asing bermula 1 pagi hingga 7.30 pagi.
“Susulan itu, seramai 98 pelawat asing warga Bangladesh didapati gagal mematuhi syarat kemasukan dan diberi NTL dengan sebahagian daripada mereka dikesan sebaik sahaja mendarat menerusi penerbangan dari Dhaka pada awal pagi tadi.
“Ketibaan melalui penerbangan pada lewat malam atau awal pagi
dipercayai bagi mengelak pemeriksaan berterusan oleh AKPS pada
waktu siang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
AKPS berkata, punca penolakan kemasukan berkenaan adalah penggunaan tempahan hotel palsu, ketiadaan tiket pulang, serta kegagalan membuktikan kemampuan kewangan.
“Kesemua mereka dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah,” katanya.
AKPS menegaskan kawalan pintu masuk akan terus diperketat, operasi pemantauan diperkukuh dan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak.
Katanya, ia termasuk anggota yang bersubahat membawa masuk warga asing secara tidak sah.
“AKPS KLIA akan terus mengesan, menahan, dan menghantar pulang pelawat asing yang tidak layak memasuki negara demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




