mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menubuhkan satu sekretariat bagi menyelaras dan melaksanakan pengurusan sisa e-waste dengan lebih berkesan.
Sekretariat berkenaan akan berada di bawah Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste yang dipengerusikan Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal yang juga Komander AKPS Pelabuhan Klang.
Nik Ezanee berkata, sekretariat itu ditubuhkan hasil perbincangan bersama Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bagi memastikan pelaksanaan dan penyelarasan tugas jawatankuasa dapat dilakukan secara lebih teratur dan berfokus.
“Jawatankuasa ini akan menjalankan kajian secara menyeluruh dan holistik berkaitan isu sisa e-waste, khususnya yang membabitkan aspek kemasukan, pengurusan dan penguatkuasaan di peringkat negara.
“Antara skop utama yang akan diteliti adalah ekosistem e-waste, termasuk perkembangan industri e-waste di peringkat global serta faktor yang mendorong Malaysia berisiko menjadi destinasi pelupusan sisa e-waste antarabangsa.
“Turut diteliti undang-undang dan prosedur sedia ada, merangkumi kerangka perundangan serta tatacara terdahulu dan semasa berkaitan kemasukan e-waste, termasuk mengenal pasti kelompongan dan mencadangkan penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, skop lain adalah aspek penguatkuasaan membabitkan cabaran pelaksanaan, kelemahan sedia ada serta cadangan langkah penambahbaikan yang lebih berkesan dan bersepadu.
“Selain itu, mengenalpasti pemegang taruh, termasuk peranan dan tanggungjawab setiap agensi dan kementerian berkaitan.
“Skop lain adalah pelupusan segera dagangan e-waste, khususnya yang menimbulkan risiko pencemaran alam sekitar dan ancaman kepada kesihatan awam,” katanya.
Katanya, pihak sekretariat akan mengemukakan permohonan maklum balas secara rasmi kepada agensi-agensi dan kementerian berkaitan.
“Satu mesyuarat penyelarasan seterusnya akan dipanggil bagi melantik keanggotaan jawatankuasa serta menyelaras dan memperhalusi maklum balas yang diterima ke arah penetapan hala tuju pengurusan dan penguatkuasaan e-waste yang lebih berkesan dan berintegriti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




