Akram mahu pastikan Melaka FC pulang kecewa

Akram mahu pastikan Melaka FC pulang kecewa

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas beraksi cemerlang berdepan Imigresen FC minggu lalu, ‘arkitek’ Terengganu FC (TFC), Akram Mahinan idam untuk membantu skuadnya meraih tiga mata pada saingan kelima Liga Super Jumaat ini.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang kini menghuni di tangga ketiga liga bakal melayani kunjungan pendatang baharu liga, Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

“Alhamdulillah kami berjaya melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala FA, jadi pertemuan dengan Melaka FC pada Jumaat ini, jika diamanahkan oleh jurulatih, pasti saya mahu berikan yang terbaik sebagaimana aksi sebelum ini.

“Kami idam memburu tiga mata untuk terus mencabar pasukan di tangga pertama dan kedua selain mengelak ketinggalan mata terlalu jauh.

“Saya ingatkan diri dan rakan sepasukan agar terus kekalkan momentum permainan sebagaimana aksi menentang kelab Imigresen tempoh hari.

“Bagaimanapun, kami juga perlu berwaspada dengan corak permainan pendatang baharu Liga Super itu yang pastinya mahu bangkit daripada kekalahan mereka kepada Penang FC dalam saingan Piala FA,” ujar Akram kepada NSTP.

Mengulas lanjut, pemain kelahiran Kedah itu mengharapkan peminat setia dapat membanjiri stadium sebagaimana ketika hadir menyaksikan perlawanan Pusingan 16 saingan Piala FA.

Berdasarkan carta selepas empat perlawanan, skuad Penyu kini mengumpul tujuh mata sesudah melakar dua kemenangan dan sekali seri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top