Aksi ala Le Mans bakal gegar Sepang

Aksi ala Le Mans bakal gegar Sepang

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bayangkan pelumba berlari melintasi trek sebelum memecut bersama jentera masing-masing Itulah aksi dramatik yang bakal menghidupkan kembali perlumbaan ketahanan BRAAAP 2 Hours (B2H) Endurance 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), 31 Ogos ini.

Bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, edisi kali ini tampil dengan aura lebih besar dan berprestij, menjadikan ia antara acara dua roda paling dinanti dalam kalendar sukan permotoran tempatan.

Lebih menarik, perlumbaan itu mengekalkan identiti uniknya dengan gaya permulaan ala perlumbaan 24 Jam Le Mans – satu tradisi ikonik yang jarang disaksikan dalam perlumbaan motosikal di negara ini.

Sebagai perlumbaan ketahanan dua jam kategori Superbike serta ‘time attack’ Supersport pertama seumpamanya di Malaysia, B2H terus mencipta sejarah dengan membabitkan jentera berkuasa tinggi dalam saingan penuh intensiti.

Acara ini turut mendapat pengiktirafan rasmi Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM) serta sokongan Kementerian Belia Sukan (KBS), selain kerjasama teknikal daripada jenama tayar antarabangsa Bridgestone.

Bagi memastikan edisi kali ini lebih ‘berkelas’, BRAAAP Motorsports tampil berani menaik taraf format perlumbaan dengan menggunakan keseluruhan litar Sepang, berbanding hanya separuh litar sebelum ini.

Malah, semua operasi pasukan kini dipusatkan di Paddock Utama SIC, sekali gus memberikan suasana kejohanan bertaraf antarabangsa serta keselesaan optimum buat pelumba, kru dan penonton.

Prestij litar bertaraf Gred 1 FIA itu juga dijangka menarik penyertaan pelumba antarabangsa, sekali gus meningkatkan tahap persaingan.

Bagi memastikan aspek keselamatan, setiap pelumba diwajibkan memiliki lesen sah sama ada daripada MAM atau FMN untuk pelumba antarabangsa.

Pengerusi BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee menyatakan komitmen pihaknya untuk menjadikan acara ini sebagai penanda aras baharu dalam kalendar sukan pemotoran dua roda tempatan.

“Maklum balas yang diterima daripada komuniti pemotoran amat luar biasa. Berikutan sokongan padu itu, kami berani mengambil langkah membesarkan skala perlumbaan ke Paddock Utama dan menggunakan litar penuh tahun ini.

“Biarpun terdapat sedikit kekangan berikutan situasi geopolitik global ketika ini, saya yakin cabaran ini dapat diatasi dan perlumbaan akan berjalan lancar. Selain aksi di litar, pelbagai acara luar litar termasuk jualan, pameran, dan cabutan bertuah sedang dirangka untuk pengunjung. Banyak lagi kejutan akan kami umumkan kelak,” katanya.

Bagi pasukan yang berminat untuk menyahut cabaran B2H 2026, penganjur kini menawarkan struktur yuran pendaftaran promosi yang menarik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top