Aksi berani penunggang 'superbike' undang padah

Aksi berani penunggang 'superbike' undang padah

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aksi berani dua lelaki menunggang motosikal berkuasa besar sambil melakukan ‘wheelie’ di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) mengundang padah apabila mereka akhirnya ditahan polis, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek tempatan berusia 31 dan 36 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur pada jam 6 pagi bagi membantu siasatan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata penahanan kedua-dua individu terbabit dibuat susulan tindakan pihak polis mengesan satu video tular di aplikasi Threads, semalam.

Beliau berkata, rakaman video berkenaan secara jelas memaparkan dua penunggang terbabit melakukan aksi ‘wheelie’ secara berbahaya ketika menyertai satu konvoi motosikal yang sedang bergerak.

“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 9 Mei lalu kira-kira jam 11 pagi di Lebuhraya SPE dari arah Pusat Bandar menghala ke Putrajaya.

“Aksi berbahaya itu dipercayai dilakukan oleh dua penunggang motosikal Ducati iaitu Ducati Hypermotard 950 berwarna merah dan Ducati Panigale berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zamzuri berkata, video kejadian berkenaan dipercayai dimuat naik sendiri oleh pengguna aplikasi Threads.

Susulan tangkapan itu, beliau berkata, polis merampas sebuah motosikal bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Antara tindakan yang diambil termasuk permohonan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di lokasi kejadian, rakaman percakapan suspek serta dokumentasi motosikal terbabit.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini dan mahkamah membenarkan permohonan reman selama satu hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran keras kepada pengguna jalan raya agar tidak menjadikan jalan raya awam sebagai tempat untuk melakukan aksi lagak ngeri yang membahayakan nyawa.

“JSPT Kuala Lumpur memandang serius tindakan pengguna jalan raya yang melakukan aksi berbahaya dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top