Kuala Lumpur: Hari kedua Kejohanan Kebangsaan Petronas 2025 menyaksikan pelbagai aksi bertenaga dalam semua kategori, dengan barisan pemain mempamerkan keyakinan, kawalan permainan dan ketahanan mental ketika beraksi bagi merebut tempat ke pusingan seterusnya.
Acara beregu lelaki membuka tirai hari kedua apabila gandingan Ungku Mohamad Ungku Ameer–Pang Khai Zhe mempamerkan aksi bertenaga menentang pasangan Selangor, Ng Haotong–Wong Yin Heng namun tewas 13–21, 12–21.
Aksi beregu campuran bermula dengan langkah positif buat skuad kebangsaan apabila Tan Zhi Yang–Nicole Tan meraih kemenangan straight set ke atas pasangan Selangor, Muhammad Al-Imran Jasni–Wong Zi Yi, 21–19, 21–12.
Momentum itu diteruskan oleh Ahmad Redzuan–Teh Si Yan yang tampil meyakinkan untuk menewaskan gandingan Johor, Gavin Ng Jing Yi–Chong Ying, 21–8, 21–15.
Detik paling menonjol hadir menerusi pasangan baharu digandingkan, Datu Anif Isaac–Tan Zhing Hui, yang menundukkan pasangan Putrajaya, Ji Ian Cho–Zi Yi Liau dengan kemenangan 21–10, 21–4 dalam masa hanya 19 minit.
Walaupun pertama kali digandingkan, Datu berkata komunikasi berkesan dan kemampuan menyesuaikan diri dengan cepat membantu mereka meraih kemenangan itu.
“Saya boleh katakan saya agak berpuas hati dengan persembahan kami hari ini. Walaupun kami membuat beberapa kesilapan sepanjang perlawanan, secara keseluruhannya saya tetap gembira dengan cara kami bermain.
“Saya pernah digandingkan dengan beberapa rakan sebelum ini dan cabaran paling besar adalah komunikasi serta membina keserasian di gelanggang.
“Untuk kejohanan ini, kami hanya ada lebih kurang dua minggu latihan bersama selepas digandingkan, jadi kami masih cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan masing-masing. Sudah tentu masih banyak yang perlu diperbaiki dari segi koordinasi, memahami pergerakan rakan dan mengukuhkan kerjasama,” jelasnya.
Sementara itu, Tan berkata dia sentiasa memotivasikan diri sepanjang aksi bagi memastikan kedua-dua pemain mampu beraksi pada tahap terbaik.
“Bagi saya, apa yang buat saya kekal fokus adalah tanggungjawab untuk berikan yang terbaik buat pasukan. Saya selalu ingatkan diri untuk kekal berdisiplin dan anggap setiap perlawanan sebagai peluang belajar untuk menjadi lebih baik pada masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



