Brno: Petarung MMA dari Republik Czech, Vaclav Mikulasek mendedahkan dia memerlukan 28 jahitan selepas telinganya hampir digigit putus oleh lawan.
Mikulasek berlumuran darah dan kelihatan terkejut ketika beraksi dalam perlawanan utama yang berlangsung penuh kekecohan pada kejohanan Clash MMA 15 di Republik Czech.
Petarung Czech itu berdepan Pavol Vasko mengikut “peraturan khas”, hanya dua bulan selepas pertemuan pertama mereka berakhir dengan pembatalan akibat pelanggaran disiplin.
Namun, perlawanan ulangan itu hanya berlangsung beberapa saat sebelum situasi menjadi tidak terkawal.
Pada awal pusingan pertama, Mikulasek cuba melakukan takedown, namun Vasko bertindak menggigit telinganya dalam aksi yang mengingatkan insiden terkenal Mike Tyson menggigit telinga Evander Holyfield.
Kedua-dua petarung terjatuh ke kanvas ketika Vasko menggigit dengan kekuatan penuh.
Mikulasek segera bangun sambil menjerit kesakitan dan memegang telinga kanan sebelum pengadil terus menghentikan perlawanan.
Darah mengalir di wajah Mikulasek, manakala rakaman ulangan jelas menunjukkan Vasko menggigit dengan kuat sebelum akhirnya melepaskan cengkaman.
Rakaman mengerikan itu dipaparkan di skrin besar dalam Winning Group Arena, sekali gus mencetuskan kemarahan penonton.
Ketika Vasko cuba meninggalkan gelanggang, penonton yang berang bertindak agresif terhadapnya.
Pelbagai objek dilemparkan ke arahnya, termasuk kerusi, apabila penyokong mengejar petarung dari Slovakia itu di dalam arena.
Situasi bertambah tegang apabila seorang penyokong menyerbu laluan masuk dan menumbuk Vasko, sekali gus mencetuskan pergaduhan besar-besaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd



