Afyonkarahisar, Turkiye: Atlet, Dario Costa baru-baru ini berjaya melakukan ‘dwimanoeuvre’ iaitu dua aksi penerbangan khas berturut-turut pertama di dunia.
Ia selepas dia mendaratkan pesawat ringan Zivko Edge 540 di atas kereta api kargo yang bergerak pada kelajuan 120 kilometer sejam (km/j), sebelum terbang semula, di satu lokasi di sini, lapor Redbull.com.
Difahamkan, pesawat dikurangkan kepada kelajuan terkawal hampir minimum 87 km/j supaya selaras dengan kereta api yang bergerak pada kelajuan operasi maksimum 120 km/j.
Keseluruhan urutan termasuk pendekatan, pendaratan dan lepas landas dapat diselesaikan dalam 50 saat di sepanjang landasan sejauh 2.5 km.
Menurut portal sama, pendaratan dilakukan di kontena kargo kesembilan.
Pembetulan aerodinamik berterusan diperlukan untuk mengekalkan penjajaran longitudinal dan lateral akibat turbulensi dan aliran udara tidak stabil dari kereta api yang bergerak.
Zivko Edge 540 mempunyai julat sayap 7.5 meter (m), panjang tujuh m dan lebar gear pendaratan 1.70 m dengan enjin 400 kuasa kuda.
Tiada pengubahsuaian struktur besar dilakukan, tetapi persediaan pesawat dioptimumkan untuk penerbangan kelajuan rendah.
Dalam pada itu, persediaan termasuk analisis aerodinamik, simulasi, persiapan penerbangan dan latihan kognitif dibuat di Pusat Prestasi Atlet Red Bull di Austria.
Bagaimanapun, senario platform bergerak tiga hari diuji di Pula, Croatia, untuk menyempurnakan penjajaran dan masa tindak balas.
Dalam pada itu, Costa berkata, pendaratan di kereta api adalah salah satu projek paling mencabar dan menuntut dalam kerjayanya.
Beliau menambah, pendaratan di landasan sangat kecil memerlukan fokus penuh terhadap kemahiran kognitif dan penerbangan.
“Projek itu memerlukan ketepatan, kerja berpasukan dan kepercayaan untuk berjaya,” katanya.
Pencapaian itu menandakan kali pertama dalam sejarah penerbangan di mana pesawat berjaya mendarat dan berlepas dari kereta api yang bergerak pada kelajuan operasi penuh, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam aerodinamik terapan dan ketepatan penerbangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




