Dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun tidak berjaya meloloskan diri selepas cuba melawan arus di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) untuk mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Petaling Jaya, Selangor. Mereka akhirnya diberkas pasukan polis pada pagi Khamis di Ara Damansara.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, insiden ini berlaku sekitar pukul 11.32 pagi apabila kereta Proton Satria yang dinaiki suspek merempuh kenderaan peronda polis dan sebuah motosikal orang awam.
Dadah, senjata & rekod jenayah terbongkar…
Pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui dadah jenis syabu seberat 12.87 gram dan alat renjatan elektrik. Lebih mengejutkan, salah seorang suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah.
Kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.- Kata Shahrulnizam.
Kes ini disiasat di bawah pelbagai seksyen termasuk Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958, serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seruan kepada orang awam untuk laporkan sebarang maklumat…
Dalam kenyataannya, Shahrulnizam turut menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau individu mencurigakan kepada pihak polis. Hubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau laporkan ke balai polis berhampiran.
#OhmediaNasihat
Kejadian ini mengingatkan kita betapa pentingnya mematuhi undang-undang dan menjauhi aktiviti jenayah. Jika anda melihat sesuatu yang mencurigakan, jangan takut untuk melaporkannya. Ingat, keselamatan adalah tanggungjawab bersama!





