saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hanya maruah menjadi pertaruhan skuad Harimau Malaya apabila menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia, 31 Mac depan.
Ia selepas hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan kemenangan Malaysia berdepan Nepal dan Vietnam dalam dua aksi kelayakan sebelum ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak selain Harimau Malaya turut diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan itu.
Pengkritik bola sepak yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, motivasi skuad negara ketika ini mungkin berada pada tahap paling rendah.
“Harimau Malaya mungkin ketika ini berada pada tahap paling rendah dalam tempoh 100 tahun sejarah FAM sejak skandal rasuah Liga M pada 1990-an.
“Penyokong marah susulan skandal (pemalsuan dokumen) ini dan pasukan kini disahkan gagal layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
“Kemenangan sebelum ini ke atas Vietnam dibatalkan dan saya percaya Vietnam akan menunggu di laman sendiri untuk menghukum pasukan negara dengan kemenangan besar.
“Harimau Malaya kini perlu bangkit, pemain perlu bermain demi maruah negara dan mereka harus melangkah ke hadapan serta cuba menamatkan kempen dengan lebih bermaruah.
“Ini mungkin ujian karakter terbesar buat pemain. Mereka tidak bersalah atas apa yang berlaku, tetapi mungkin menanggung stigma daripada skandal ini.
“Saya melihat ini sebagai peluang untuk mereka membuktikan kemampuan dalam perlawanan ini yang mungkin membuka peluang lebih baik untuk masa akan datang,” katanya.
Berdasarkan keputusan asal perlawanan terbabit, Malaysia menang 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac 2025 dan menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun 2025.
Keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memusnahkan impian Malaysia untuk ke Piala Asia 2027 dengan Harimau Malaya yang sebelum ini cemerlang memenangi semua aksi dan mengumpul 15 mata untuk memimpin saingan Kumpulan F.
Namun, selepas ditolak enam mata, Malaysia yang kini tinggal sembilan mata jatuh ke kedudukan kedua dan lebih perit apabila slot ke pusingan akhir sah menjadi milik Vietnam dengan skuad Naga Emas mengumpul 15 mata dan muncul juara kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




