sukanteam@nstp.com.my
Kuala Terengganu: Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menafikan dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea sebagai pelengkap jadual atau tiada kualiti.
Sebaliknya jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menegaskan dua aksi persahabatan menentang pasukan di ranking lebih baik dan bawah berbanding skuad kebangsaan penting buat pemain negara sebagai persiapan fizikal dan taktikal sebelum ‘bertarung’ dalam saingan Piala Asia 2023 selepas 43 tahun.
Jelas Pan-gon, faktor fizikal pemain dua pasukan berkenaan berbanding pemain Malaysia perlu diambil kira selain faktor lain termasuk taktikal dan corak permainan yang diperagakan pasukan yang bakal ditentang.
“Pada aksi persahabatan antarabangsa pada kali ini, kami mengundang dua pasukan yang tidak kurang hebatnya datang ke sini (Malaysia) untuk menguji pasukan kita.
“Menentang pasukan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea bukannya tugasan mudah buat negara kerana pemain dua pasukan itu agak berbeza berbanding orang Asia Tenggara terutama daripada segi fizikal dan taktikal.
“Situasi ini sedikit sebanyak akan memberi tentangan yang hebat buat pemain kami selain ia juga dapat membantu kami membentuk permainan yang lebih mantap dan bertenaga apabila menentang pasukan yang lebih besar fizikal dan sebagainya.
“Ia juga satu ujian yang baik buat kami selain akan memberi peluang kepada pemain untuk membentuk karakter dan mengekalkan rentak permainan kerana kami ingin memberikan persembahan yang terbaik untuk penyokong di laman sendiri berdepan pasukan di ranking lebih tinggi dan rendah daripada kita,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan berdepan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon pada Rabu ini diikuti pasukan di ranking ke-159, Papua New Guinea pada 20 Jun dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak.
© New Straits Times Press (M) Bhd