mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tonggak Selangor FC Nooa Laine mengakui aksi di pentas Pestabola Merdeka banyak meningkatkan kualiti permainannya supaya tampil dengan aksi menyakinkan bersama skuad Gergasi Merah.
Pemain berusia 21 tahun itu berkata, cabaran beraksi bersama skuad senior membantu untuk kekal tenang dan fokus bersama pasukan.
Laine yang dilahirkan di Finland berkata, fokusnya kini beralih kepada Selangor FC untuk membantu kelabnya meraih kejayaan positif seterusnya mengukuhkan kedudukan di Liga Super.
“Saya gembira dapat beraksi bersama skuad senior. Perkara itu banyak mengajar untuk memperbaiki lagi corak permainan pada masa akan datang.
“Fokus saya adalah membantu Selangor FC meraih keputusan positif. Saya lihat Pestabola Merdeka memberi pengalaman bermakna untuk beraksi lebih baik,” katanya.
Mengikut rekod, Selangor FC ketika ini berada di kedudukan kedua Liga Super selepas mengumpul 19 mata menerusi enam kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Selangor FC akan menerima kunjungan Kuching City pada Jumaat ini dengan perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
© New Straits Times Press (M) Bhd




