Aksi Sabtu lalu penampilan terakhir Salah bersama Liverpool

Aksi Sabtu lalu penampilan terakhir Salah bersama Liverpool
Aksi Sabtu lalu penampilan terakhir Salah bersama Liverpool

Salah terlepas baki saingan EPL musim ini selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Crystal Palace pada Sabtu lalu.

PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah disahkan akan terlepas baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mengalami kecederaan hamstring ketika membantu kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace pada Sabtu.

Perkara itu disahkan Pengarah Pasukan Kebangsaan Mesir, Ibrahim Hassan yang memaklumkan bintang berusia 33 tahun itu telah menamatkan penampilan terakhirnya musim ini bersama The Reds.

“Saya mengesahkan beliau mengalami koyakan hamstring dan memerlukan rawatan selama empat minggu,” katanya kepada Reuters.

Bagaimanapun, pihak Liverpool masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tahap kecederaan berkenaan.

Salah terpaksa dikeluarkan pada minit ke-60 perlawanan sambil menerima tepukan penyokong di Anfield.

Pengurus Liverpool, Arne Slot menyifatkan situasi itu sebagai satu lagi tamparan kepada musim pasukan yang dibelenggu masalah kecederaan.

“Kemenangan lagi dan satu lagi kecederaan. Itulah kisah musim kami.

“Masih terlalu awal untuk membuat penilaian tetapi semua tahu betapa sukarnya Mo meninggalkan padang.

Kita perlu tunggu dan lihat tahap sebenar kecederaannya,” katanya kepada BBC.

Selepas sembilan musim penuh kejayaan, karier Salah bersama Liverpool dijangka berakhir hujung musim ini, dengan perpisahan bersama penyokong dijangka berlaku selepas aksi terakhir menentang Brentford.

Liverpool masih mempunyai beberapa perlawanan berbaki termasuk menentang Chelsea, Manchester United dan Aston Villa.

Sepanjang musim ini, Salah telah menjaringkan 12 gol serta mencatat sembilan bantuan jaringan dalam semua pertandingan.

Hassan turut memaklumkan bahawa pemain itu dijangka cergas sepenuhnya menjelang Piala Dunia 2026 di Amerika Utara, yang menyaksikan Mesir berada dalam Kumpulan G bersama Belgium, New Zealand dan Iran.

Scroll to Top