Aksi tiga dram dalam satu lagu di Pentas Barbarik Volume 2

Aksi tiga dram dalam satu lagu di Pentas Barbarik Volume 2

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Sungai Buloh: “Ini bukan persiapan biasa, tapi boleh dikatakan kerja gilalah,” kata pemain gitar terkenal, JoBranko ketika ditemui pada sesi latihan Pentas Barbarik Volume 2 di MyStudio, semalam.

Menurutnya, cabaran mula dirasai apabila dia menukar keseluruhan konsep persembahan konsert ini.

“Mula-mula itu saya ingatkan nak ubah dalam 30 peratus sahaja macam saya cakap sebelum ini sebab duration itu saya ada cuma dalam 40 hari saja untuk Volume 2.

“Tapi tiba-tiba datang pula idea yang saya rasa perlu buat sesuatu yang betul-betul berbaloi untuk penonton yang datang.

“Saya rasa momen macam ini, tak tahu lagi bila akan datang dan bila lagi saya boleh buat. Maksudnya, kita lihat pada artis semula. Saya rasa ini kali pertama kat Malaysia,” katanya.

Konsert Pentas Barbarik Volume 2 yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Bukit Bintang, esok, akan menampilkan tiga dram untuk beraksi dalam sebuah lagu.

“Selalunya kita ada band dengan variasi artis tapi masing-masing main dengan band sendiri. Jadi kali ini cabaran itu saya nak bagi orang nampak cerita kat atas itu.

“Saya ada kelebihan itu kerana pernah bekerja dengan semua mereka. Saya tahu kelebihan Jojet, Black, Ainol serta Muss. Saya kena bijak menyusun supaya penonton nampak.

“Untuk lagu permulaan yang hanya empat minit setengah saja, kita ambil masa 30 jam untuk dapatkan yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, JoBranko berharap kesihatan semua mereka dalam keadaan baik untuk menampilkan persembahan terbaik buat peminat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top