KAJANG: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan sebanyak 43,455 notis berkaitan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kesalahan larangan pameran produk merokok.
Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, Dr. Zulhizzam Abdullah berkata, kesemua notis itu telah dikeluarkan sejak penguatkuasaan bermula iaitu dari 1 Oktober 2024 hingga 20 April lalu.
“Sehingga 20 April sebanyak 338 notis peringatan telah dikeluarkan kepada premis jualan yang belum melaksanakan pematuhan terhadap peraturan ini di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, sepanjang operasi penguatkuasaan akta berkenaa, kesalahan tertinggi direkodkan ialah di bawah Seksyen 16(2) melibatkan larangan merokok di kawasan larangan.
Ia menyumbang kepada 41,421 notis dengan jumlah kompaun sebanyak RM10.35 juta.
Sementara itu, tambah beliau, KKM telah mengeluarkan 35 pemakluman pematuhan kepada premis yang telah mematuhi peraturan dalam operasi hari ini.
“Pengeluaran notis peringatan dan pemakluman pematuhan ini akan diteruskan di seluruh negara.
“Semua usaha ini adalah sebagai bukti komitmen KKM terhadap larangan pameran produk merokok yang akan berkuatkuasa secara penuh pada 1 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN