KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta E-Dagang baharu perlu memberi tumpuan kepada perlindungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga tempatan daripada persaingan tidak seimbang dalam ekosistem perdagangan digital.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, harga kompetitif dalam platform e-dagang sememangnya memberi manfaat kepada pengguna, namun tidak seharusnya menyebabkan peniaga tempatan kehilangan pasaran dan mata pencarian.
Katanya, perkembangan pesat perdagangan digital termasuk peningkatan transaksi rentas sempadan memerlukan kerangka perundangan yang mampu memastikan persaingan dalam pasaran berlaku secara lebih adil.
“Pertama, kita perlu melindungi PMKS dan peniaga tempatan. Harga yang kompetitif memang memberi manfaat kepada pengguna, tetapi jangan sampai wujud persaingan yang tidak seimbang sehingga peniaga tempatan kehilangan pasaran dan mata pencarian pada masa hadapan.
“Kedua, penjual asing yang berniaga kepada pengguna Malaysia perlu mempunyai tahap tanggungjawab dan pematuhan yang jelas untuk melindungi pengguna Malaysia sekiranya berlaku penipuan, penjualan produk tidak selamat atau pertikaian.
“Ketiga, tanggungjawab platform e-dagang juga perlu diperjelaskan kerana platform masa kini bukan lagi sekadar tempat menemukan penjual dan pembeli. Pengaruhnya semakin besar dalam menentukan bagaimana produk dipasarkan, dijual dan sampai kepada pengguna.
“Keempat, kita mahu perdagangan dan penyertaan asing benar-benar memberi nilai tambah kepada Malaysia, termasuk membawa pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan membuka lebih banyak ruang kepada perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Fuziah, kerangka e-dagang kita juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan cara rakyat membeli serta berniaga hari ini .
“Ini penting untuk menutup kelompongan yang masih ada dalam Akta Perdagangan Elektronik 2006, khususnya dari sudut perlindungan pengguna dalam ekosistem digital yang semakin kompleks dan melibatkan transaksi rentas sempadan.
“Sebab itu, Akta E-Dagang ini perlu disegerakan. Kita bukan hanya bercakap soal harga murah, tetapi bagaimana untuk mewujudkan ekosistem yang lebih sihat supaya PMKS dan peniaga tempatan mempunyai ruang untuk berkembang dan bersaing dengan lebih adil,” katanya. – UTUSAN
