farid_noh@bh.com.my
Kota Tinggi: Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bukanlah satu peruntukan undang-undang yang mengikat dalam menentukan pelantikan hakim, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, Akta JAC 2009 itu hanya berperanan untuk menapis, menilai dan mencadangkan nama-nama calon kepada Perdana Menteri.
“Pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur (cadang) nama-nama calon, tetapi ia bukan akta finalisation (yang mengikat). Cadangan itu tidak mengikat.
“Nama-nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Kalau niat mahu proses JAC itu mengikat, maka Perlembagaan perlu dipinda,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengerang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO meminta semua pihak merujuk hansard Dewan Rakyat ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, memegang jawatan berkenaan.
“Ketika itu, Mohamed Nazri memaklumkan bahawa Akta JAC itu
lebih kepada pentadbiran, dan ia tidak mengikat.
“Kalau niat nak mengikat, kena dibuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapi isunya Perkara 122B masih tidak dipinda.
“Perkara berkenaan tidak menyebut bahawa adanya Akta JAC yang wajib mengikat. Jadi jika kita tafsirkan undang-undang ini, dia membezakan antara duanya (Akta JAC dan Perkara 122B),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd