Akta JAC akan diteliti, tambah baik elak timbul kekeliruan – Azalina

Akta JAC akan diteliti, tambah baik elak timbul kekeliruan – Azalina

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan akan meneliti untuk menambah baik Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi mengelak kekeliruan dalam proses pelantikan hakim di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sejak akta terbabit dikuat kuasa pada 2009, tidak pernah timbul kekeliruan dalam prosedur pelantikan hakim.

“Perlu diingat, Akta JAC ini diluluskan dan diwujudkan sejak 2009 dan sejak itu (diguna pakai) dalam pelantikan lima Ketua Hakim Negara, tidak pernah timbul isu, malangnya kini ia menjadi isu. Jadi kita kena kaji secara mendalam.

“Kita perlu melakukan penambahbaikan, sebab sekarang ini wujud banyak kekeliruan dan tiada kejelasan dari perspektif awam,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 di sini, hari ini.

Majlis penutup yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, penambahbaikan itu dilihat wajar bagi mengenal pasti punca kekeliruan dalam proses pelantikan hakim.

“Di mana puncanya kekeliruan atau ketidakjelasan ini? Adakah ia berpunca daripada prosesnya atau daripada istilah yang digunakan, contohnya nama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman itu sendiri?

“Mungkin perkataan pelantikan itu menimbulkan persepsi tertentu, saya pun tidak pasti. Jadi kita perlu buat kajian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumpulkan pandangan daripada pakar supaya perbincangan menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Akan ada perbincangan menyeluruh. Saya juga sudah menjemput Majlis Peguam untuk terbabit pada peringkat awal, bagi memberi perspektif dan pandangan yang seimbang.

“Selepas itu, saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet untuk diputuskan arah mana yang akan kita ambil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top