lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan dipinda bagi menambah baik aspek tadbir urus agensi pemerkasaan Bumiputera itu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, draf pindaan akta itu sudah siap dan kini dalam peringkat sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh.
Menurutnya, pindaan itu penting memandangkan akta sedia ada yang digubal sejak 1966 sudah tidak lagi relevan dengan keperluan tadbir urus moden.
Asyraf Wajdi berkata, antara fokus utama pindaan itu adalah memperkukuh aspek tadbir urus bagi mengelakkan ketirisan, pembaziran serta salah guna kuasa.
“Ini termasuk memastikan tiada konflik kepentingan dalam pelantikan atau penglibatan ahli lembaga dalam jawatankuasa tertentu seperti pelaburan dan audit.
“Ada kes sebelum ini yang mungkin sah dari sudut undang-undang, tetapi tidak wajar dari sudut moral dan tadbir urus,” katanya pada Sidang Media Tahunan MARA di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Beliau turut memberi contoh isu pembelian aset di luar negara pada harga melebihi pasaran yang menyebabkan kerugian, yang menurutnya berpunca daripada kelemahan tadbir urus.
“Perkara seperti ini perlu diperbaiki supaya MARA dapat bergerak dengan lebih berintegriti dan diyakini masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, cadangan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah adalah antara komponen penting dalam pindaan berkenaan.
“Ini kerana MARA menguruskan dana awam, khususnya melibatkan Bumiputera, yang mengharapkan setiap aspek operasi mematuhi prinsip syariah.
“Ia bukan sahaja dari segi instrumen kewangan, tetapi juga melibatkan keseluruhan operasi dan pengurusan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, proses libat urus kini membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Jabatan Perdana Menteri, di samping diperluas ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh daripada pemegang taruh.
Beliau berkata, sasaran MARA adalah untuk membentangkan pindaan akta itu di Parlimen seawal Jun ini, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
“Ini adalah usaha penting untuk memastikan MARA terus relevan dan mampu berperanan secara lebih konstruktif dalam memperkasa agenda Bumiputera pada masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



