Akta Perkhidmatan Parlimen perkukuh reformasi institusi 

Akta Perkhidmatan Parlimen perkukuh reformasi institusi 

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 sebagai langkah penting kerajaan dalam menunaikan janji reformasi institusi kepada rakyat, termasuk mengehadkan kuasa yang selama ini berada di bawah kerajaan dan Ketua Majlis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara tonggak penting agenda reformasi negara yang mencerminkan kesediaan kerajaan membawa perubahan bagi memperkukuh kebebasan institusi Parlimen dan mematangkan sistem Demokrasi Berparlimen.

“Saya anggap perubahan ini dan Akta Perkhidmatan Parlimen ini penting kerana ia, saya tegaskan memaknai erti Demokrasi Berparlimen dan kematangan sistem demokrasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi inilah salah satu langkah penting yang saya anggap sebagai tonggak dalam reformasi negara MADANI ini iaitu melaksanakan, menunaikan janji kita kepada rakyat bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenal, diluluskan dan membatasi kuasa yang sedia ada dan lazim ada pada kerajaan dan terutamanya Ketua Majlis,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia sempena pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 di Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengimbas sejarah pentadbiran Parlimen, Anwar berkata usaha memperkukuh kebebasan institusi itu telah melalui perjalanan panjang sejak pengenalan undang-undang berkaitan pada 1960-an, sebelum dimansuhkan pada 1992.

Beliau berkata pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen mencerminkan komitmen untuk meneruskan proses pematangan Demokrasi Berparlimen, yang kejayaannya turut bergantung kepada kewibawaan kepimpinan kedua-dua Dewan serta kesediaan Ahli Parlimen menyokong pembaharuan berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap kebebasan dan bidang kuasa baharu yang diberikan kepada Parlimen dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan serta profesionalisme warga institusi berkenaan, selain mempertingkatkan mutu dan adab perbahasan.

“Tentunya diharapkan dengan kebebasan dan bidang kuasa Parlimen untuk mengangkat keupayaan stafnya sendiri dan tahap profesionalismenya, kita juga mengharapkan suatu peningkatan mutu perbahasan dan juga adab dalam perbahasan sesuai dengan bidang kuasa yang baharu.

“Usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk anggota pentadbiran kerajaan, Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkan kebebasan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan memahami batas serta tanggungjawab dalam sistem demokrasi,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi, usul yang dibentangkan Anwar berhubung pelantikan empat Ahli Parlimen bagi menganggotai Jawatankuasa Pemilih mengikut peruntukan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan dengan lebih suara bersetuju tanpa sesi perbahasan.

Ahli Parlimen yang dilantik masing-masing dua wakil kerajaan dan pembangkang iaitu Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).- BERNAMA

Scroll to Top