Aktifkan fungsi sekolah projek

Aktifkan fungsi sekolah projek

Laporan Sukan Sinar baru-baru ini. GAMBAR KECIL: Mohd Sadek

PENGLIBATAN secara lebih aktif sekolah projek setiap daerah dilihat mampu merancakkan semula pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang juga bersesuaian dengan pembangunan sains sukan itu pada masa ini.

Itu reaksi penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa apabila menyifatkan program akar umbi seperti olahraga dan sukan tempur telah lama diwujudkan di beberapa negeri secara langsung serta tidak langsung.

Jelasnya, pembangunan akar umbi sukan seperti olahraga, karate dan taekwondo telah lama wujud menerusi kegiatan kokurikulum sekolah.

“Cuma bagaimana untuk menjadikannya lebih berkesan dalam menjadi pusat pembekalan bakat secara berterusan itu yang menjadi persoalan.

“Bagaimanapun saya percaya sekiranya kita memperkasakan fungsi sekolah projek di setiap daerah secara tidak langsung permulaan langkah awal yang positif supaya proses implementasi HLC nampak jelas.

“Memperkasa semula peranan sekolah projek merupakan pilihan terbaik untuk merancakkan kembali semula tiga sukan tersebut tanpa membebankan tanggungjawab secara menyeluruh kepada sekolah sukan negeri atau sekolah sukan Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Selasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan HLC untuk memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang.

Jawatankuasa itu akan melibatkan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Tambah Mohd Sadek lagi, proses berterusan ini bukan sahaja melibatkan pembangunan bakat muda, namun perlu disertakan dengan khidmat pegawai dan kejurulatihan serta fasiliti bagi atlet yang berdaya saing.

“Aspek kecergasan berdasarkan kemahiran dan aspek kecergasan berdasarkan kesihatan juga penting dibangunkan pada fasa peringkat sekolah rendah bagi membantu pembentukan atlet.

“Selain itu pertandingan peringkat akar umbi perlu dilaksanakan setiap tahun tanpa gagal bukan satu atau dua kejohanan tapi sekurang-kurangnya lima setiap supaya elemen kompetitif itu menjadi budaya dalam kalangan bakat muda ini.

“Lima pertandingan setiap tahun ini melibatkan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan diikuti pendedahan antarabangsa,” katanya yang menyifatkan penubuhan HLC satu pendekatan serius berterusan kerajaan untuk memperkasakan semula imej sukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya sekiranya HLC ini mendapat penglibatan serius KBS, KPT dan KPM, kontinjen negara boleh menuai keberhasilan HLC di Sukan Olimpik Brisbane 2032,” katanya.