
LOS ANGELES: Pembebasan mengejutkan Bill Cosby dari penjara menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong hak wanita yang ia akan menghakis kepercayaan terhadap Hollywood untuk membuatkan lelaki bertanggungjawab terhadap gangguan dan serangan seksual.
Pelakon dan pelawak berusia 83 tahun itu dibebaskan Rabu lalu, selepas Mahkamah Agung Pennsylvania membatalkan penghakiman pada 2018 yang mendapati dia bersalah atas tuduhan serangan seksual.
Aktivis mengecam keputusan baharu itu.
“Apabila sistem mengabaikan puluhan tertuduh dalam keadaan seperti ini – disebabkan kelemahan teknikal, bukannya bukti yang menyebabkan dia dihukum – ia mewujudkan persepsi ‘tidak berbaloi’ untuk mangsa tampil,” kata NGO, Women in Film yang menyokong peluang saksama dalam bidang hiburan.
Kumpulan itu menggesa “semua individu yang mempunyai kedudukan berkuasa dalam industri layar perak menamatkan budaya mendiamkan diri serta penerimaan yang membenarkan Cosby menyasarkan lebih ramai wanita sebagai mangsa”.
Time’s Up, pertubuhan yang diasaskan pada 2018 selepas dakwaan serangan seksual dan rogol oleh penerbit Harvey Weinstein, berkata mangsa Cosby “tampil dengan keberanian tinggi menentang seorang lelaki berkuasa dengan risiko besar peribadi”.
“Kami berharap keputusan ini tidak menghalang mangsa lain daripada bersuara kerana kita perlu membina langkah kebertanggungjawaban lebih baik supaya pelaku bertanggungjawab.
“Tetapi, ia sukar apabila anda melihat hasil seperti ini berlaku,” kata Tina Tchen, ketua pegawai eksekutif Yayasan Time’s Up.
Cosby didapati bersalah kerana memberi dadah dan mencabul Andrea Constand, pekerja di alma maternya di Universiti Temple, di rumahnya pada 2004.
Lebih 50 wanita mendakwa Cosby melakukan pelbagai serangan seksual hampir lima dekad, tetapi hanya dakwaan Constand yang tidak terlalu lama untuk membolehkan dakwaan jenayah.
Dia dibebaskan selepas menjalani lebih dua daripada tiga hingga 10 tahun hukuman penjaranya.
Selepas pembebasannya, Cosby menulis di Twitter: “Saya tidak pernah mengubah pendirian atau cerita saya. Saya tetap dengan pendirian saya tidak bersalah.”
Lisa Bloom, yang mewakili tiga daripada wanita yang mendakwa Cosby, menasihatkan mangsa serangan seksual bahawa “sistem itu masih memihak kepada golongan kaya dan berkuasa”.
“Anda memerlukan tahap kekuatan dan keberanian sangat luar biasa. Mujurlah ramai mangsa memilikinya. Mangsa Codby yang lain, tiba masanya untuk tampil.”