rnoraina@hmetro.com.my
Serdang: Penerbangan yang membawa 95 individu dipercayai aktivis misi Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dijangka tiba di Turki hari ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau dikenali Nadir Al-Nuri yang mendapat maklumat daripada Kementerian Luar Turki.
“Kapal terbang dari negara penjajah akan tiba di Istanbul jam 3 petang, membawa 95 orang kemungkinan semua peserta Conscience,” tulisnya di Instagram, hari ini.
Semalam, media melaporkan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) sudah berjumpa dengan 100 delegasi daripada 145 yang ditahan Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dilapor berkata, tujuh delegasi Malaysia sudah menandatangani surat deportasi, manakala status dua lagi delegasi masih belum diketahui setakat petang semalam.
Beliau dipetik berkata, kesemua delegasi Malaysia disahkan tiada kecederaan, namun pihak MyCARE akan mengatur pemeriksaan lebih lanjut sejurus mereka dibebaskan bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan yang baik.
Sembilan delegasi terbabit adalah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta Dr Maziah Muhammad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




