
Rakaman video yang disiarkan media tempatan menunjukkan anggota polis memukul individu yang sudah terbaring di lantai menggunakan belantan. – Foto X/Thiago Avila
BARCELONA – Polis Sepanyol dilapor menggunakan kekerasan terhadap enam aktivis flotila bantuan Gaza yang dibebaskan Israel dan penyokong mereka di Lapangan Terbang Bilbao pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Rakaman video yang disiarkan media Sepanyol menunjukkan pegawai polis berulang kali memukul mereka yang sudah terbaring di atas lantai dengan belantan, menyeret mereka serta menggari tangan mereka ke belakang.
Media Sepanyol menyatakan mereka terkejut dengan rakaman itu memandangkan terdapat sokongan besar dalam kalangan orang ramai terhadap flotila itu dan rakyat Palestin.
Punca tindakan kekerasan itu pada awalnya masih belum diketahui.
Pasukan polis Basque, Ertzaintza, segera mengumumkan siasatan sama ada tindakan pegawai terbabit mematuhi peraturan yang terpakai.
Dua aktivis yang pulang dan dua penyokong ditahan kerana disyaki melawan pihak penguat kuasa undang-undang, menurut polis. Tiga daripada mereka dibebaskan tidak lama kemudian.
Sementara itu, beberapa anggota flotila bantuan itu termasuk rakyat Jerman melaporkan layanan buruk, dipukul, diserang dan diseksa oleh pasukan keselamatan Israel selepas mereka ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Pejabat Luar Jerman pada Jumaat mengesahkan aktivis dari Jerman cedera.
Seorang jurucakap mengulangi kritikan kerajaan Jerman terhadap “layanan yang memalukan” ke atas mereka yang ditahan di Israel. Israel menolak dakwaan itu.
Kira-kira 430 aktivis dengan lebih 50 bot ingin memecahkan sekatan laut ke atas Semenanjung Gaza bagi membawa bekalan bantuan kepada rakyat Palestin di wilayah itu. – Bernama



