Aktivis GSF Dari Itali Peluk Islam Ketika Dalam Tahanan Israel

Aktivis GSF Dari Itali Peluk Islam Ketika Dalam Tahanan Israel

Seorang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali, Tommaso Bortolazzi, memeluk agama Islam ketika berada dalam tahanan tentera Israel — satu keputusan yang lahir daripada pengalaman menyaksikan rakan-rakan Muslimnya diganggu ketika menunaikan solat, lapor agensi berita Anadolu.

Dalam satu temu bual sejurus tiba di Istanbul, Turkiye, Bortolazzi menceritakan detik yang menyentuh hatinya itu. Beliau ditahan bersama lapan aktivis beragama Islam dari Turkiye dan Malaysia. Ketika mereka sedang bersolat di dalam sel, anggota pasukan pendudukan Israel masuk dan cuba menghalang ibadah tersebut.

“Saya rasa saya perlu menentang perbuatan itu. Selepas kejadian tersebut, saya mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya.

Menurut Bortolazzi, pengalaman itu membuatkannya berasa seolah-olah “dilahirkan semula”.

“Saya memilih untuk memeluk Islam, dan saya sangat gembira dengan keputusan ini,” ujarnya lagi.

Bortolazzi merupakan kapten kapal Maria Cristina, salah satu daripada lebih 40 bot yang menyertai misi flotilla ke Gaza bagi membawa bantuan kemanusiaan dan menentang sekatan rejim Zionis ke atas wilayah tersebut.


Scroll to Top