am@hmetro.com.my
Melaka: Aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di sebuah perumahan baharu di Taman Harmoni Tambak Paya terbongkar menerusi operasi pihak berkuasa termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, aktiviti di kediaman baharu itu dikesan hasil pemantauan dan rondaan harian TNB yang mengesan peningkatan haba serta arus elektrik luar biasa di premis berkenaan.
Bagaimanapun menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, rumah yang dipercayai disewa itu tidak berpenghuni dan ditutup dengan langsir.
“Selalunya aktiviti haram dijalankan di bangunan rumah kedai namun kali ini mereka menjadikan kediaman untuk kegiatan ini.
“Kerugian ditanggung TNB bagi aktiviti haram di rumah ini dianggarkan RM8,000 sebulan,” katanya ketika dalam operasi bersepadu bersama TNB dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga di Tambak Paya, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu berkata, serbuan itu operasi kedua tahun ini, selepas Januari lalu membabitkan dua premis kedai di Alor Gajah, dengan anggaran kerugian mencecah RM1.6 juta.
“Pada tahun lalu, sebanyak 85 kes perlombongan bitcoin direkodkan, meningkat mendadak berbanding 30 kes pada tahun sebelumnya.
“Dari segi kerugian pula, sebanyak RM10.46 juta direkodkan pada 2024 manakala RM29.63 juta pada 2025 akibat kecurian bekalan elektrik bagi aktiviti ini,” katanya.
Mohd Noor Helmy berkata, aktiviti perlombongan bitcoin bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB, tetapi menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk sekitar.
Beliau berkata, arus elektrik yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kabel menjadi panas dan mencetuskan kebakaran.
“Ia juga boleh mengganggu bekalan elektrik dan merosakkan peralatan di kediaman berhampiran.
“Orang ramai perlu lebih berjaga-jaga dan menjadi mata serta telinga pihak berkuasa bagi melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




