am@hmetro.com.my
Ipoh: Dua wanita antara enam warga Bangladesh yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran yang dijalankan di kawasan kebun kelapa di Kampung Tualang 7, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, warga Bangladesh masing-masing dua wanita dan dua lelaki yang berusia 32 hingga 49 tahun itu juga disyaki tiada dokumen perjalanan diri yang sah.
Katanya, aktiviti persundalan itu dikesan ketika polis menjalankan Tugas Ronda Cegah Jenayah Khas di kebun kelapa itu jam 7.30 malam tadi.
“Keenam-enam mereka ditangkap kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran dan persundalan, selain disyaki tiada dokumen perjalanan diri yang sah, serta kesemua barang kes juga dirampas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, antara yang dirampas di rumah tumpangan pekerja kebun itu, termasuk 16 keping kondom, minyak urut, tisu basah, wang tunai, serta telefon bimbit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd