Aktiviti seni berbeza berbanding empat Ramadan lalu

Aktiviti seni berbeza berbanding empat Ramadan lalu

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Jika tahun sebelumnya pelakon, Sophia Albarakbah, 33, lebih selesa memilih untuk memperlahankan rentak kerjaya seni sepanjang Ramadan demi meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, namun tahun ini ceritanya sedikit berbeza.

Kehadiran bulan mulia kali ini menyaksikan jadual seni pelakon filem Saka Perawan ini padat dengan pelbagai naskhah drama yang menuntut komitmen tinggi.

Akui Sophia, meskipun jauh di sudut hati dia merindui rutin bersahur dan berbuka di rumah, namun rezeki yang datang melimpah-ruah tidak mampu ditolak dengan begitu sahaja.

“Sebenarnya dalam tempoh empat tahun lalu, saya memang tidak mengambil sebarang tawaran penggambaran pada bulan Ramadan sebab mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Tapi bermula tahun lalu, saya sudah mula penggambaran sikit-sikit.

“Tahun ini pula jadual agak padat. Saya akan menjalani penggambaran drama untuk slot Samarinda di TV3 sebanyak 20 hingga 25 episod. Tajuk sementaranya ialah Pentaksub dan saya akan beraksi di samping pelakon hebat, Datuk Rosyam Nor,” katanya.

Tambah Sophia, selain drama bersiri itu, dia juga dijangka terbabit dalam sebuah telefilem berjudul Misi Asmara Kita.

Melihat kepada jadual yang tersusun rapat, Sophia sedia maklum bahawa masanya akan banyak dihabiskan di lokasi penggambaran berbanding di meja makan bersama insan tersayang.

“Bila sudah mula penggambaran, memang saya tidak ada masa untuk perkara lain. Keluarga sangat faham dengan kerjaya saya.

“Jadi, kalau saya ada cuti atau habis kerja awal, saya akan cuba sedaya upaya untuk pulang berbuka dengan mereka. Walaupun saya lebih suka berehat, tapi Alhamdulillah ada rezeki, saya terima saja,” katanya.

Namun, apa yang menarik perhatian mengenai Ramadan Sophia tahun ini bukan sekadar aktiviti lakonannya. Sisi usahawan dalam diri wanita ini mula terserlah apabila dia kini menyertai kemeriahan bazar Ramadan sebagai peniaga.

Bersama adik perempuannya, Sophia mempertaruhkan jenama minuman air kelapa pandan asli yang diberi nama KLAPA. Lokasinya juga cukup strategik iaitu di Bazar Ramadan Stadium Merdeka.

“Nama KLAPA dipilih supaya orang senang ingat. Sebenarnya saya memang sangat suka air kelapa dan kurang gemar minuman yang terlalu manis.

“Kalau di bazar, kadang-kadang kita tengok air kelapa dalam balang sudah ditambah gula dan ais yang banyak, malah saya agak skeptikal sedikit mengenai kebersihannya.

“Jadi, saya rasa air kelapa pandan asli lebih sihat kerana ia adalah elektrolit semula jadi. Saya mahu galakkan orang ramai kurangkan pengambilan gula.

“Untuk kelainan, kami juga menyediakan ‘Cloud Topping’ di atasnya dengan perisa seperti Cloud Matcha, Cloud Peach dan Cloud Pandan,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan berdepan kritikan pembeli terutama soal harga, Sophia tenang menyatakan bahawa dia dan adiknya mahu memberikan yang terbaik untuk percubaan sulung ini.

Malah, dia berjanji akan turun ke padang untuk melayani pelanggan jika tidak terikat dengan jadual penggambaran.

“Sedia! (ketawa). Saya akan ada di sana juga jika ada waktu terluang. Kalau saya tidak ada, adik saya dan kakitangan kami yang akan menguruskannya,” katanya.

Beralih ke perkembangan kerjaya lakonannya, nama Sophia kini hangat diperkatakan menerusi watak Sheila dalam drama Bisik Asmara.

Keberkesanannya menghidupkan watak wanita yang tertekan dengan bebanan hidup berjaya meruntun jiwa penonton, sekali gus mengubah persepsi segelintir pihak yang sebelum ini kurang meminati bakatnya.

“Memang agak sukar untuk saya membawakan watak Sheila. Bila berada dalam situasinya, saya rasa sangat sedih dan tertekan.

“Bayangkan dia seorang guru yang terpaksa tinggal berjauhan dengan suami, perlu menjaga emak yang menghidap Alzheimer dan mempunyai kakak yang tidak membantu.

“Watak Sheila ini sangat menyedihkan dan buat saya rasa murung.

Tidaklah sampai terbawa-bawa ke luar set, tapi bila bersendirian, saya akan terfikir mengenai nasibnya dan rasa sedih itu akan datang semula. Namun, bila pengarah sebut ‘cut’, saya cuba kembali menjadi diri sendiri,” katanya.

Menyentuh mengenai keserasian bekerjasama dengan pelakon, Zul Ariffin, Sophia tidak menafikan pada mulanya dia berasa agak ‘kecut perut’ melihat penampilan aktor itu.

“Pada mulanya memang saya rasa agak takut sebab perawakannya yang besar dan suaranya yang garang. Tapi bila sudah mula berlakon bersama, rupanya dia tidak menakutkan langsung. Dia sangat kelakar, ceria dan memudahkan kerja.

“Dia juga berjaya membawakan watak Farhan dengan sangat baik sehingga membuatkan ramai isteri di luar sana mula berfikir bukan-bukan terhadap suami mereka,” katanya.

Bagi peminat setia Bisik Asmara, Sophia berpendapat pengakhiran drama itu masih menjadi tanda tanya, bukan sahaja kepada penonton malah kepada dirinya sendiri.

Menurutnya, pihak produksi merakamkan dua versi pengakhiran yang berbeza dan keputusan akhir terletak pada pihak penerbitan.

Sophia juga bakal muncul dengan filem yang lebih berat bertajuk Amira Amir tidak lama lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top