Aktiviti sukan air di daerah Kampar ditangguh serta-merta

Aktiviti sukan air di daerah Kampar ditangguh serta-merta

am@hmetro.com.my

Kampar: Semua aktiviti riadah dan sukan air ‘outdoor’ di pusat peranginan membabitkan kawasan sungai di daerah Kampar dihentikan serta-merta, susulan tragedi kepala air di Sungai Jahang yang mengorbankan tiga nyawa, semalam.

Mengesahkan perkara itu, Pegawai Daerah Kampar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Nazrul Fazami Mohamad berkata, arahan itu terpakai kepada semua pengusaha resort dan tapak perkhemahan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Antara aktiviti yang ditangguhkan adalah water rafting dan water tubing serta sebarang aktiviti membabitkan kawasan sungai di Daerah Kampar,” katanya menerusi surat rasmi yang dikeluarkan malam tadi.

Terdahulu, tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas selepas bot rafting yang mereka naiki menyusuri Sungai Jahang, dekat Gopeng, terbalik akibat kejadian kepala air.

Mangsa adalah Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah, Suhaili Mat Saad, 47; Penolong Jurutera Kanan JKR Daerah Langkawi, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37 dan Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top