fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kelibat tokoh perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit skandal ‘mafia korporat’ dikatakan sudah wujud sebelum 2018, dalam beberapa pentadbiran Kerajaan Pusat sebelum ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata ia berdasarkan maklumat diperoleh hasil siasatan terkait Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Rentetan itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi hairan mengapa tiada tindakan lanjut daripada kerajaan sebelum ini terhadap Victor yang dikatakan ada kaitan dengan kegiatan ‘mafia korporat’ itu.
“Saya nak sebut Victor Chin tidak melakukan perkara ini sekarang, tetapi sudah lama, sejak beberapa pentadbiran (Kerajaan Pusat) yang lalu.
“Saya tidak ada maklumat tepat tetapi memang (Victor Chin wujud) sejak sebelum 2018 untuk mengumpulkan jumlah (aset) RM475 juta bukan mengambil masa singkat.
“Apa pun saya tak pasti kenapa kerajaan sebelum ini tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap individu ini dan mereka bersekongkol dengan dia.
“Namun, Kerajaan MADANI sudah mengambil tindakan. Nasihat saya kepada Victor Chin sila tampil, jika tiada apa-apa aduan, tuduhan… Buatlah laporan kepada agensi penguatkuasaan supaya siasatan dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Penyiaran Digital anjuran Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) di sini, hari ini.
Mengenai pembabitan ‘Mr R’ yang didakwa ada kaitan dengan kegiatan ‘mafia korporat’, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, beliau tidak mempunyai maklumat individu itu mempunyai keahlian dalam PKR.
Beliau berkata, Victor juga mengakui ‘Mr R’ yang diperkatakan itu bukan seorang Ahli Parlimen.
“Victor Chin mengaku ‘Mr R’ bukan Ahli Parlimen, jadi saya tak tahu kenapa dia sebut macam itu. Malangnya parti tidak boleh saman. Ada kes duluan yang menunjukkan parti tidak boleh saman.
“Saya tidak ada maklumat (dakwaan Mr R adalah ahli PKR). Tapi kenyataan susulan beliau menunjukkan bahawa dia merujuk kepada orang yang bukan Ahli Parlimen. Dia kata seorang yang terbabit dalam syarikat bukan Ahli Parlimen,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan Victor mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal ‘mafia korporat’, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang juga bekas Timbalan Presiden PKR pula tampil membuat penafian susulan pendedahan dan ancaman Victor untuk mendedahkan identiti individu berkenaan, melainkan wang berkenaan dikembalikan kepadanya.
Selain itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan turut menafikan dakwaan beliau adalah ‘Mr R’.
© New Straits Times Press (M) Bhd



